Saham Wakaf Johor (SWJ


SAHAM WAKAF JOHOR

Saham Wakaf Johor  diwujudkan adalah bertujuan untuk menggalakkan umat islam di negeri ini khususnya untuk mengamalkan ibadah berwakaf.
Ia juga merupakan satu skim yang ditawarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor dengan nilai RM 10 seunit  untuk dimiliki oleh umat islam dan mewakafkan saham tersebut kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor dengan tujuan manfaatnya diberikan kepada umat islam.
Skim ini dilancarkan berasaskan kepada penghayatan terhadap sabda Rasullulah s.a.w yang bermaksud:
“ Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu SEDEKAH JARIAH, ILMU YANG DIMANFAATKANNYA dan ANAK YANG SOLEH yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya.

(Hadis Riwayat Muslim )
Dengan wujudnya skim ini ianya boleh menafikan tanggapan sesetengah masyarakat islam bahawa berwakaf itu hanya boleh dilakukan oleh individu tertentu yang mempunyai harta dan kemampuan kewangan sahaja.
OBJEKTIF SAHAM WAKAF JOHOR
1. Menghidup suburkan semula amalan wakaf yang merupakan sedekah jariah yang sangat dituntut oleh Islam.

2. Menyediakan kemudahan dan alternatif kepada masyarakat umat Islam untuk menyertai ibadah wakaf walaupun tanpa melibatkan wakaf yang berbentuk aset kekal

3. Dalam usaha menggalakkan masyarakat Islam mengiktiraf wakaf sebagai sistem yang diyakini berpotensi untuk menggerakkan pembangunan sosial dan ekonomi umat Islam.

4. Menanam dan mendidik sikap, semangat dan kerjasama yang erat antara sesama umat Islam berkonsepkan ukhuwwah Islamiah dan semangat Taawun dalam Islam.

5. Memperbanyakkan lagi pegangan aset, harta umat Islam hasil daripada pengumpulan tunai dan disalurkan untuk kepentingan agama Islam dan pembangunan masyarakat Islam.

6. Melaksanakan strategi pembangunan harta-harta wakaf dan ekonomi umat Islam dengan skop yang lebih luas, dinamik dan bersepadu.

7. Meluaskan saluran kebajikan dengan sistematik dan berkesan.

8. Memberi alternatif kepada semua golongan umat Islam untuk turut menyumbang ke arah pembangunan sosio ekonomi masyarakat Islam.

9. Melahir dan menzahirkan pembangunan Institusi Wakaf dengan lebih produktif dan berwibawa.

KONSEP SAHAM WAKAF JOHOR
Mewakafkan harta adalah merupakan amal jariah yang sangat dituntut oleh agama Islam kerana amalan wakaf bukan hanya sebagai satu ibadah malahan ia merupakan satu sistem yang berpotensi untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Islam melalui pengumpulan harta secara bersama dan berkelompok.
SWJ adalah satu skim bagi menggalakkan orang ramai ( umat Islam ) menyumbang dan membuat pelaburan sebagai sedekah jariah ( wakaf ) tanpa had maksimum untuk tujuan demi kepentingan, kebajikan dan kemaslahatan umat Islam secara menyeluruh.
Sesiapa sahaja yang beragama Islam boleh menyertai skim ini. SWJ ini memudahkan umat Islam untuk mewakafkan harta mereka dalam bentuk tunai kerana tidak semua umat Islam di negeri ini khasnya dan di Malaysia amnya, mempunyai aset atau harta kekal seperti tanah, bangunan dan sebagainya.

Dengan skim Saham wakaf yang mudah ini maka diharap semua Umat Islam di negeri ini dapat menyumbang dan membuat pelaburan untuk Akhirat mereka.

MATLAMAT SAHAM WAKAF JOHOR DITUBUHKAN
  • Melaksanakan ibadah wakaf secara berkelompok
  • Melambangkan penyatuan dan kerjasama umat Islam berteraskan Ukhuwah Islamiah
  • Melaksanakan strategi pembangunan harta-harta wakaf dan ekonomi umat Islam dengan skop yang lebih luas, dinamik dan bersepadu.
  • Meluaskan saluran kebajikan dengan sistematik dan berkesan.
  • Memberi alternatif kepada semua golongan umat Islam untuk turut menyumbang ke arah pembangunan sosio ekonomi masyarakat Islam.
  • Melahir dan menzahirkan pembangunan institusi wakaf dengan lebih produktif dan berwibawa.
Allah S.W.T amat menggalakkan hambaNya ( umat Islam ) memperbanyakkan dan berlumba-lumba dalam mengerjakan ibadah sesuai dengan firmanNya yang bermaksud:-

“ Maka berlumba-lumbalah kamu dalam mengerjakan kebajikan ”
(Surah Al-Baqarah – Ayat 148)

Justeru itu rebutlah peluang keemasan ini untuk kita bersama-sama mengumpul bekalan dan saham akhirat kita melalui Skim Wakaf Tunai yang mudah ini. Semoga wakaf tuan/puan akan mendapat ganjaran pahala yang berkekalan sebagaimana yang dijanjikan oleh Allah Taala disamping kita menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat Islam dan agama Islam yang Maha suci.Hendaklah Berniat Mewakilkan Wakaf Ketika Mengisi Borang Wakaf "
KEMUDAHAN PEMBELIAN SAHAM WAKAF JOHOR
  • Datang sendiri ke kaunter Majlis Agama Islam Negeri Johor di semua Pejabat MAIJ Daerah yang berdekatan.
  • Kaunter bergerak Saham Wakaf Johor
  • Wang Pos
  • Melalui Online (www.e-wakafjohor.gov.my)
e-wakaf Johor
Pengenalan e-wakaf Johor
  • Merupakan sistem pengurusan pembelian saham wakaf yang bernilai RM10 seunit.
  • Sistem e-wakafjohor boleh diakses dengan menggunakan browser seperti Internet Explorer.
  • Mempunyai beberapa bahagian sistem yang merangkumi bahagian pembeli wakaf online, bahagian kaunter dan bahagian admin.
Spesifikasi Keperluan Pengguna
  • Komputer / Komputer riba lengkap
  • Mesin Pencetak
  • Sistem OS Windows dan browser Internet Explorer
  • Sambungan ke rangkaian internet
  • Acrobat Reader ( PDF)
  • Adobe Flash Player
Perlaksanaan Sebagai Pengguna
  • Daftar sebagai pengguna sistem
  • Semak pembelian
  • Cetakan Penyata
  • Beli Saham Wakaf (FPX, Cek,Wang Pos, Bank in)
  • Baca hujah wakaf yang dipaparkan
  • Bayar menggunakan E-Bank (Online Banking) atau hantar Cek, Wang Pos secara manual
  • Tunggu MAIJ hantar hujah dan resit
Pendaftaran
  • Masukkan maklumat pendaftaran diruangan yang disediakan
  • Pastikan ruangan yang bertanda *  di isi dengan betul.
  • Pastikan semua maklumat yang dimasukkan adalah betul sebelum Daftar Keahlian dihantar.
PENGESAHAN PENDAFTARAN AKAUN PENGGUNA ONLINE
  • Pastikan maklumat email dan maklumat untuk log in ke dalam sistem dimasukkan dengan betul.
  • Selepas pendaftaran dilakukan, sila semak EMAIL yang anda isi dalam borang pendaftaran untuk melakukan proses mengesahkan akaun anda. PASTIKAN ANDA SEMAK JUGA JUNK / BULK FOLDER/ SPAM FOLDER. Proses pengesahan akaun dilakukan dengan klik pada url yang disediakan.
  • Setelah anda mengesahkan akaun anda, anda boleh log in ke dalam sistem dan memulakan proses untuk pembelian saham wakaf secara online menggunakan cara pembayaran secara FPX (Financial Process Exchange)
Cara membeli
  • Sebelum pembelian dilakukan pengguna perlu NYAHAKTIF (TURN OFF) POP UP BLOCKER PADA BROWSER INTERNET ANDA. Klik pada bahagian  'TOOLS' untuk nyahaktif tetapan tersebut. Ini bertujuan untuk memaparkan LOGIN BANK ONLINE pengguna setelah memilih pembayaran secara FPX BANK. Kegagalan berbuat demikian akan menghalang pengguna meneruskan transaksi pembayaran.
  • Pengguna perlu memasukkan ruangan yang disediakan.
  • Sila pilih cara bayaran samada menggunakan Online Banking (FPX), secara cek atau kiriman wang ataupun bank in.
  • Menggunakan FPX memerlukan pengguna mempunyai Akaun Online Banking
  • Pembayaran secara cek perlulah dihantar terus pada MAIJ atau hantar pada cawangan MAIJ yang terdekat..
  • Submit Pembayaran


PENGECUALIAN CUKAI PENDAPATAN
Keprihatinan, komitmen dan sumbangan menerusi konsep “Saham Wakaf” yang dihulurkan mendapat perhatian pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri Johor. Setiap penyertaan kepada Skim Saham Wakaf Johor akan melayakkan peserta menerima pengecualian cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967
(No. Rujukan : LHDN.01/35/42/51/179-93-97 )




  

PROJEK BERKONSEPKAN SAHAM WAKAF JOHOR


PROJEK PEMBINAAN SEKOLAH AGAMA
Wakaf sekolah agama ini diwujudkan adalah bertujuan untuk menampung keperluan sekolah agama yang kian mendesak dalam Negeri ini, yang mana sekolah agama yang sudah sedia ada tidak mampu lagi untuk menampung jumlah murid yang semakin bertambah pada setiap tahun.Bagi memenuhi keperluan tersebut, Kerajaan Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri Johor telah mengambil pendekatan untuk membangunkan 121 buah Sekolah Agama diseluruh Negeri Johor.

PROJEK WAKAF AL-QURAN
Dalam usaha untuk memastikan Al-Quran terus didampingi dan dijadikan panduan hidup seiring dengan pembangunan umat Islam. Majlis Agama Islam Negeri Johor mempelawa seluruh umat Islam untuk mewakafkan Naskah Al-Quran  menerusi Program Wakaf Al-Quran.Al-Quran yang telah diwakafkan akan di agihkan ke Sekolah-sekolah Agama seluruh Negeri Johor, Pejabat-pejabat Kerajaan dan Swasta.Jenis Al-Quran : Tafsir Pimpinan Al-Rahman kepada Pengertian Al-Quran 30 Juzuk.

PROJEK WAKAF BANGUNAN KEDAI DI NUSAJAYA
Majlis Agama Islam Negeri Johor menyeru umat Islam untuk bersama-sama menambahkan milikan hartanah wakaf umat islam di dalam memacu pembangunan masyarakat islam negeri ini.
Tujuannya adalah untuk membuka peluang kepada Umat Islam untuk menjalankan perniagaan dikawasan Wilayah Pembangunan Iskandar. Dengan misi utama untuk menggalakkan masyarakat islam menceburi bidang perniagaan.Lokasi bangunan tersebut terletak di Fortune Point, Taman Perindustrian Nusa Cemerlang, Nusa Jaya.
 
PROJEK WAKAF LADANG KELAPA SAWIT

Wakaf ini diwujudkan adalah bertujuan untuk memberi alternatif kepada umat Islam untuk berwakaf. Hasil wakaf ini akan disalurkan dan dimanfaatkan demi kebajikan umat Islam seperti bantuan kepada Masjid-masjid, Surau-surau, Sekolah-sekolah Agama, Rumah Anak-anak Yatim dan sebagainya.
Justeru, Majlis Agama Islam Negeri Johor mempelawa kepada seluruh umat Islam  yang berminat untuk mewakafkan anak-anak benih kelapa sawit bagi menjayakan projek ini menerusi konsep Saham Wakaf Johor. Lokasi ladang ini yang mana luasnya adalah 20.54 Hektar terletak di Mukim Mersing, Daerah Mersing dan seluas 59.04 Hektar di Mukim Tenggaroh, Daerah Mersing, Johor.

PROJEK PEMBELIAN ASRAMA PELAJAR JOHOR DI KAHERAH MESIR

Pembelian bangunan ini adalah bertujuan untuk dijadikan asrama bagi pelajar-pelajar yang menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar, Mesir.
Bangunan ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar pada 17 April 2010. Bangunan asrama pelajar Al-Azhar yang ke-2 ini merupakan bangunan setinggi 6 tingkat yang telah diubahsuai dan boleh menampung seramai 80 orang pelajar pada satu masa.Lokasi bangunan tersebut terletak di No. 53 Mohamed Masdur Street, El-Hayyu Al-wwal,Madinat Nasr, Kaherah, Mesir.

PROJEK PEMBINAAN BANGUNAN SAHAM WAKAF JOHOR
MAIJ telah berjaya membina sebuah bangunan setinggi 6 tingkat di Batu 6 ½ Tampoi dengan kos RM 4.99 juta hasil dari kutipan Saham Wakaf daripada umat Islam seluruh Malaysia. Kini bangunan tersebut telah dijadikan Pusat Hemodialisis Majlis Agama Islam Negeri Johor.




Wakaf


PENGENALAN
Penubuhan Bahagian Wakaf
  • Ditubuhkan pada tahun 1313 H bersamaan 1895 M.
  • Pada Peringkat awal ianya ditadbir oleh DYMM Tuanku Sultan Johor
  • Diserahkan kepada State Secretary Of Johor (Setiausaha Kerajaan Johor) dalam urusan tadbiran dan pemegang amanah
  • Diserahkan kepada Jabatan Agama dan dikelolakan oleh Yang Di Pertua Jabatan Agama Johor
  • Diletak di bawah MAIJ dengan kuat kuasa Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 1978 / 2003
Objektif Penubuhan
  • Memantapkan masyarakat Islam tentang konsep  Wakaf.
  • Menjelaskan kepentingan Wakaf di dalam merealisasikan sosio ekonomi Islam.
  • Memberi kesedaran kepada umat Islam akan pentingnya merebut peluang pembangunan bagi memajukan ekonomi Islam.
Fungsi Utama
  • Mengurus dan mentadbir Kumpulan Wang Wakaf sebagai Pemegang Amanah Wakaf.
  • Sebagai pemegang amanah harta-harta yang diwakafkan oleh umat Islam untuk tujuan-tujuan tertentu
Bidang Kuasa
  • Mentadbir harta-harta Wakaf.
  • Mendaftar harta-harta Wakaf.
  • Mengurus harta-harta Wakaf mengikut tujuan yang telah ditentukan oleh pewakaf.
 Pemegang Amanah
  • Menurut seksyen 89 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Johor 2003, Majlis Agama Islam Negeri Johor  telah  menjadi  pemegang  amanah  tunggal  bagi :-
  1. Semua wakaf, sama ada wakaf am atau wakaf khas;
  2. Semua nazr am ; dan
  3. Segala jenis amanah yang mewujudkan apa-apa amanah khairat bagi menyokong dan memajukan agama islam atau bagi faedah orang-orang Islam mengikut Hukum Syarak, dan bagi semua apa-apa harta yang tersentuh oleh wakaf, nazr am atau amanah itu dan terletak di dalam Negeri Johor.

Jenis Harta Wakaf di Johor
Wakaf daripada :
  • Individu
  • Rizab Kerajaan / Pertubuhan ( Irshod )
Wakaf Am dan Khas dalam bentuk dan tujuan :
  • Tanah
  • Bangunan dan kediaman
  • Tapak masjid, surau, sekolah agama, kubur, pertubuhan anak yatim dan lain- lain.

MAKSUD WAKAF
Dari sudut bahasa perkataan Wakaf adalah berasal dari perkataan Arab “ Al-Waqf ” (اَلْوَقْفُ) yang bermaksud harta yang diwakafkan. Ia juga bermakna harta yang ditahan "Al-habs"
( اَلْحَبْس ُ )atau harta yang dihalang " Al-mana' "( اَلْمَنْعُ ).

Mengikut istilah syarak pula, wakaf membawa maksud menahan sesuatu harta daripada pewakaf dan memberikan manfaatnya untuk kebajikan dan kepentingan agama dan umat Islam atau kepada penerima wakaf yang telah ditentukan oleh pewakaf sepertimana yang dinyatakan didalam hujjah wakaf dari mula harta itu diwakafkan hinggalah ke akhirnya semata-mata kerana Allah Subhanahu Wa Taala buat selama-lamanya dan ianya tidak boleh diambil kembali atau dimiliki oleh mana-mana individu.
Secara umumnya wakaf terbahagi kepada 2 iaitu:

i) Wakaf Ahli (wakaf keluarga)
wakaf ini dikhususkan manfaatnya kepada ahli keluarga yang telah ditentukan oleh pewakaf.

ii) Wakaf Khairi (Wakaf Kebajikan)
wakaf ini terbahagi kepada wakaf am dan wakaf khas.
Bagi wakaf am ianya boleh diertikan sesuatu wakaf yang diwujudkan oleh pewakaf bagi tujuan manfaat umum umat islam mengikut hukum syarak seperti untuk kemudahan atau pembangunan ekonomi umat islam menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan dengan berasaskan hokum syarak.

Bagi Wakaf khas pula ianya diertikan sesuatu wakaf yang diwujudkan oleh pewakaf bagi tujuan manfaat tertentu umat islam mengikut hokum syarak seperti mewakafkan tanah untuk tujuan masjid, surau, sekolah agama, perkuburan islam dan lain-lain yang dikhususkan oleh pewakaf.


RUKUN WAKAF
  1. Orang yang mewakafkan. ﴿الْوَاقِفُ﴾
  2. Pihak yang menerima wakaf. ﴿المَوْقُوْفُ﴾
  3. Benda yang diwakafkan.  ﴿الْمَوْقُوْفُ عَلَيْهِ﴾
  4. Suratan yang berkenaan dengan wakaf termasuk wasiat (juga dikenali dengan sighah wakaf. ﴿حُجَّة﴾
Dalil Pensyariatan Wakaf
Perlaksanaan ibadah wakaf adalah berasaskan kepada hadis Ibn Umar yang diriwayatkan oleh imam muslim yang bermaksud:-
عَنْ ‏ابْنِ عُمَرَ ‏ رَضِيَ اللهُ عنْهُمَا قَالَ : ‏أَصَابَ ‏ ‏عُمَرُ ‏ ‏أَرْضًا ‏ ‏بِخَيْبَرَ ,‏ ‏فَأَتَى النَّبِيَّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏يَسْتَأْمِرُهُ ‏ ‏فِيهَا, فَقالَ  : يَا رَسُولَ اللَّهِ , إِنِّي ‏ ‏أَصَبْتُ ‏ ‏أَرْضًا ‏ ‏بِخَيْبَرَ ‏ ‏لَمْ ‏ ‏أُصِبْ ‏ ‏مَالاً قَطُّ هُوَ ‏ ‏أَنْفَسُ ‏ ‏عِنْدِي مِنْهُ, فَقَالَ : ‏ ‏إِنْ شِئْتَ ‏ ‏حَبَسْتَ ‏ ‏أَصْلَهَا وَتَصَدَّقْتَ بِهَا, قَالَ: فَتَصَدَّقَ بِهَا ‏ ‏عُمَرُ , و‏أَنَّهُ لاَ يُبَاعُ أَصْلُهَا, وَلاَ ‏ ‏يُبْتَاعُ ‏ ‏وَلاَ يُورَثُ وَلاَ يُوهَبُ قَالَ فَتَصَدَّقَ ‏ ‏عُمَرُ ‏ ‏فِي الْفُقَرَاءِ وَفِي الْقُرْبَى وَفِي الرِّقَابِ وَفِي سَبِيلِ اللَّهِ ‏ ‏وَابْنِ السَّبِيلِ ‏ ‏وَالضَّيْفِ لاَ ‏ ‏جُنَاحَ ‏ ‏عَلَى مَنْ ‏ ‏وَلِيَهَا ‏ ‏أَنْ يَأْكُلَ مِنْهَا بِالْمَعْرُوفِ أَوْ يُطْعِمَ صَدِيقًا غَيْرَ ‏ ‏مُتَمَوِّلٍ ‏ مَالاً.
 ﴿ متفق عليه واللفظ لمسلم ﴾
Maksudnya :
Daripada Ibnu Umar r.a  katanya: Umar  telah mendapat sebidang tanah di Khaibar  kemudian dia datang menghadap Nabi s.a.w untuk minta tunjuk ajar tentang cara pengelolaannya, katanya: Wahai Rasulullah! Saya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar.  Belum pernah saya memperolehi harta yang lebih baik daripada ini. Baginda bersabda: Jika kamu suka, tahanlah tanah itu ( yakni wakafkanlah tanah itu ) dan kamu sedekahkan manfaatnya. Lalu Umar  mengeluarkan sedekah hasil tanah itu dengan syarat tanahnya tidak boleh dijual dan dibeli serta diwarisi atau dihadiahkan. Umar  mengeluarkan sedekah hasilnya kepada fakir miskin, kaum kerabat dan untuk memerdekakan hamba juga untuk orang yang berjihad di jalan Allah serta untuk bekal orang yang sedang dalam perjalanan dan menjadi hidangan untuk tetamu. Orang yang mengurusnya boleh makan sebahagian hasilnya dengan cara yang baik dan boleh memberi makan kepada temannya dengan sekadarnya.
Muttafaq a’laih dan susunan matan tersebut menurut riwayat Muslim
Dan firman Allah Subhanahu Wa Taala yang bermaksud : -
﴿ لَن تَنَالُواْ ٱلۡبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُواْ مِمَّا تُحِبُّونَ‌ۚ وَمَا تُنفِقُواْ مِن شَىۡءٍ۬ فَإِنَّ ٱللَّهَ بِهِۦ عَلِيمٌ۬﴾
سورة آل عمران : ۹۲
Mafhumnya:-
“ Kamu sekali-kali tidak dapat mencapai hakikat kebajikan dan kebaktian yang sempurna sehinggalah kamu memberi (menafkahkan ) sebahagian harta yang kamu cintai ke jalan Allah. Dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Taala Maha Mengetahui ”
 Surah Ali Imran – Ayat 92
Al-Rafi'i  telah mentafsirkan maksud kebajikan di dalam ayat di atas adalah wakaf, iaitu satu-satunya ibadah yang dapat dikategorikan sebagai sedekah jariah kerana kebajikan yang diperolehi oleh pewakaf adalah ganjaran pahala yang berterusan walaupun pewakafnya telah meninggal dunia dan selagi mana harta yang diwakafkan tersebut terus kekal dan imanfaatkan.

 Kelebihan Berwakaf
Wakaf adalah satu ibadah menyerahkan harta yang kita miliki untuk kegunaan Umat Islam dengan niat sebagai ibadah untuk mendekatkan diri kita kepada Allah Subhanahu Wa Taala.
Para Fuqahah (ahli fiqh dan ulama') berpendapat amalan wakaf merupakan ibadah yang berbentuk sedekah jariah yang menjanjikan ganjaran pahala yang berkekalan dan mengalir terus kepada pewakaf buat selama-lamanya dan sangat dituntut dalam agama Islam.

Ia merupakan suatu amal soleh yang mana pahalanya akan diberikan secara berterusan oleh Allah Subhanahu Wa Taala kepada pewakaf selagi mana harta atau ain yang diwakafkan itu kekal dan dimanfaatkan oleh orang ramai.
Kedudukan harta wakaf adalah kekal sebagai hak Allah Taala, dengan demikian kedudukan harta waqaf tidak boleh dimiliki, dijual, dihibah ( diberi ) , diwarisi dan dipusakai.
Allah S.W.T telah mensyariatkan wakaf, menganjur dan menjadikannya sebagai salah satu agenda untuk mendampingkan diri kepadanya dan memberikan pahala yang cukup besar bagi sesiapa yang menginfaqkan harta mereka ke jalan Allah Taala sebagaimana firman Allah :-
﴿ مَّثَلُ ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمۡوَٲلَهُمۡ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنۢبَتَتۡ سَبۡعَ سَنَابِلَ فِى كُلِّ سُنۢبُلَةٍ مِّاْئَةٍُ حَبَّةٍ۬‌ۗ وَٱللَّهُ يُضَـٰعِفُ لِمَن يَشَآءُ‌ۗ وَٱللَّهُ وَٲسِعٌ عَلِيمٌ ﴾
سورة البقرة : ۲٦١
Mafhumnya :-
“ Bandingan ( pahala ) orang-orang yang membelanjakan harta mereka pada jalan Allah seumpama sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai dan tiap-tiap tangkai itu pula terdapat seratus biji. Dan ingatlah Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah Maha Luas ( KurniaNya ) lagi Maha Mengetahui”.
( Surah Al-Baqarah Ayat 261 )
Rasulullah S.A.W sendiri amat menggalakkan umatnya supaya memperbanyakkan sedekah jariah sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A yang bermaksud :-
عَنْ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِىَ اللهُ تَعَالى عنه ‏أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏قَالَ : ‏ ‏إِذَا مَاتَ ابْنُ آدَمَ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاثَةٍ : صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ ، اَوْعِلْمِ يُنْتَفَعُ بِهِ ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ. ‏  
﴿ رواه مسلم ﴾
Maksudnya :-
“ Apabila matinya seseorang anak Adam itu maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah , ilmu yang dimanfaatkannya dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kepada kedua ibubapanya.
( Hadis Riwayat Muslim )

Hikmah Berwakaf
Allah s.w.t berfirman didalam surah al-imran ayat 115 yang bermaksud:
Dan apa sahaja kebajikan yang mereka lakukan, maka mereka tidak sekali-kali akan dinafikan atau disekat daripada mendapat pahala. Dan ingatlah allah sentiasa mengetahui akan keadaan orang-orang yang bertakwa.
Antara hikmah yang terdapat didalam ibadah wakaf ialah:
  • menzahirkan pengabdian diri kepada allah s.w.t
  • sebagai langkah mendekatkan diri kepada allah s.w.t
  • mendapat kebajikan yang berkekalan walaupun pewakaf telah meninggal dunia
  • berkongsi manfaat dikalangan umat islam dalam menyemarakkan syiar islam.
  • Ianya dapat mengukuhkan perpaduan dan ekonomi ummah dan
  • Ianya juga secara tidak langsung dapat mengekalkan pemilikan dan pengkongsian aset umat islam di Negara ini khususnya.